Sun Flower - Mario World

Tahniah Ukhti Radieah

>> Friday, March 4, 2011

Rasanya belum terlambat untuk Nisa' Pulau Pinang mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada ukhti Radieah Mohd Noor yang juga merupakan ketua 3N (Nisa' News Network) Nisa' Pulau Pinang atas usaha dan kegigihannya hingga berjaya merangkul Anugerah Tesis Sarjana Terbaik dalam Majlis pengiktirafan dan penganugerahan tesis terbaik dalam bidang keilmuan Islam, anjuran Yayasan Nurul Yaqeen dengan kerjasama Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia (USM).

---------------------------------------------------------------------

SARJANA ISLAM PERLU KAJI MODEL POLITIK MALAYSIA
22/2/2011

Muhyiddin mengucapkan tahniah kepada Munif dan Radieah pada
Majlis Anugerah Tesis Terbaik Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan golongan sarjana politik Islam mengemukakan model terbaik negara Islam yang bukan saja demokratik, tetapi stabil dan makmur.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi mencapai matlamat itu, disiplin ilmu politik dan kenegaraan Islam yang dinamik dan fleksibel perlu dimantapkan.”Sudah sampai masanya sarjana Islam dalam pelbagai disiplin ilmu di universiti tempatan mengadakan usaha bersama untuk mengkaji secara mendalam model politik Malaysia sebagai negara Islam yang majmuk, makmur dan stabil. ”Melaluinya, formula bagi menjawab pelbagai persoalan yang timbul akan ditemui dan tentunya menjadi faktor kritikal segala pencapaian kita sebagai negara Islam yang majmuk dan demokratik dan formula inilah yang perlu kita pertahankan,” katanya pada majlis Anugerah Tesis Terbaik Tan Sri Muhyiddin Yassin 2010 di sini, malam tadi.

Majlis berkenaan anjuran Yayasan Nurul Yaqeen dengan kerjasama Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia (USM).

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran adalah pengerusi yayasan itu. Turut hadir, isteri Muhyiddin, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Yang Dipertua Dewan Negara merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah yayasan, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Pengarah Yayasan Nurul Yaqeen, Nor Zanah Jamari; Pengarah ISDEV, Prof Dr Muhammad Syukri Salleh dan Pemangku Naib Canselor USM, Prof Ahmad Shukri Mustapha Kamal.

Majlis pengiktirafan dan penganugerahan tesis terbaik dalam bidang keilmuan Islam yang bersifat rentas disiplin ini bermula pada 2009 dan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Anugerah Tesis Doktor Falsafah Terbaik dan Anugerah Tesis Sarjana Terbaik. Penyertaannya membabitkan penuntut tempatan sama ada di institusi pengajian tinggi tempatan atau luar negara.

Anugerah Tesis Doktor Falsafah Terbaik tahun ini dimenangi Dr Munif Zarirruddin Fikri Nordin menerusi tesis bertajuk ‘Bahasa Kepimpinan Rasulullah S A W: Analisa Wacana Khutbah Ghazawat Al-Rasul’. Pensyarah Universiti Malaya itu menerima pingat emas, wang tunai, trofi serta sijil penyertaan yang keseluruhan bernilai RM15,000.

Pemenang Anugerah Tesis Sarjana Terbaik ialah Radieah Mohd Nor dari USM yang memperoleh hadiah bernilai RM10,000 melalui tesisnya, ‘Prinsip-Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam Dalam Mukadimah Ibn Khaldun’.


---------------------------------------------------------------------

Semoga kejayaan ukhti Radieah dapat dijadikan inspirasi dan pembakar semangat untuk kita semua dalam mencari dan mendalami ilmu Allah yang maha luas ini, serta menjadi yang terbaik antara yang terbaik ... Ameen :)

0 pandangan:

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP