Sun Flower - Mario World

TiDuR SiaNg..BoLeh Ker?

>> Sunday, August 7, 2011




Pernahkah anda tidur siang? Mesti pernah kan... ^_^

Bila seharian mengadap buku fizik dan matematik tambahan. Masuk kelas sejarah dan geografi. Menjelang tengahari, otak dah tak mampu berfikir, mata bertambah beban magnet. Biasalah tu...
Bagi suri rumahtangga pula lain ragamnya. Rutin bermula dengan menguruskan anak sekolah. Usai itu, berhempas-pulas dengan kerja-kerja rumah. Mencuci pakaian dan timbunan pinggan mangkuk, sapu sampah, mop lantai dan banyak lagi kerjanya. Setengah hari, setengah tenaga habis..letih sangat, dan pastinya mengantuk!

Lain pula pencak ibu yang bekerjaya. Menguruskan anak-anak di awal pagi. Kelam-kabut ke pejabat, nanti ‘punch card’ merah. Menghadap kerja, kejar deadline, masuk keluar mesyuarat. Tengahari apa ragamnya? Biasalah, mengantuk jugak.

Jangan risau, anda normal jika anda rasa letih dan mengantuk pada waktu tengahari. Tahukah anda, tidur di waktu tengahari adalah sunnah Rasulullah dan pastinya ada hikmah secara ilmiah?

Pertama sekali, kita renung firman Allah dalam surah Ar-Ruum, ayat 23:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah tidurmu di waktu malam dan siang hari dan usahamu mencari sebagian dari kurnia-Nya.Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mendengarkan”.

Rasulullah s.a.w juga menggalakkan kita tidur di siang hari. Sabda Baginda:

“Lakukanlah Qailulah (tidur siang), kerana sesungguhnya syaitan itu tidak melakukan qailulah” (HR. Ath-Thabrani).

“Bantulah puasa di siang hari dengan makan sahur dan bantulah qiamullail dengan qailulah” (Ibn Majah).

Kita petik pula pandangan Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin:

“Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum tergelincir matahari untuk solat zohor."

Kajian Ilmiah

Secara ilmiah, kajian yang dilakukan membuktikan tidur siang amat berkesan untuk meningkatkan tenaga, tumpuan dan produktiviti seseorang pekerja. Kajian yang dijalankan terutamanya di Amerika Syarikat, mendapati bahawa 92.5 peratus pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengah hari mempunyai daya kreativiti serta keupayaan mereka menyelesaikan masalah adalah jauh lebih tinggi.
Kajian penyelidik Nasa menunjukkan, tidur siang selama 24 minit mampu memperbaiki kepekaan dan prestasi juruterbang dan tidak hairan jika tidur seketika di waktu tengah hari itu sudah menjadi amalan di negara maju seperti AS, Itali serta Sepanyol.

Profesor psikologi, Universiti Cornell, AS, Dr James Maas, berpendapat bahawa tidur pada waktu tengah hari sekitar 15 hingga 20 minit sebenarnya sudah mencukupi untuk menjaga kesihatan dan mengembalikan tenaga. Menurut Dr James, waktu tidur yang mencukupi untuk golongan dewasa adalah sekitar lapan hingga sembilan jam manakala remaja, sembilan hingga 10 jam, kanak-kanak (12 hingga 13 jam) dan bayi, 17 jam sehari.

>Kesimpulan: Tidur siang adalah sunnah Rasullulah. Jadi, tiada salahnya jika kita mengambil masa sekitar 15 hingga 20 minit untuk tidur bagi merehatkan badan. Tingkatkan produktiviti diri dan kualiti ibadah. Ayuh, hidupkan sunnah Rasulullah di bulan Ramadhan! ^_^

0 pandangan:

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP